Artikel Terkini

PAS memartabatkan Wanita

Petikan Ucapan Tuan Guru Haji Hadi Awang sempena Muktamar Tahunan PAS Kali ke 49

Beli Buku | Info 
     Saya ingin mengambil kesempatan ini bagi menerangkan pendirian PAS terhadap isu yang menjadi kesukaan musuh-musuh PAS, iaitu isu gender. PAS ialah parti yang mewakili setiap lapisan masyarakat termasuk kaum wanita. Pendirian PAS terhadap kaum wanita adalah juga pendirian Islam terhadap wanita. Wanita adalah ciptaan ALLAH SWT yang tidak berbeda daripada lelaki. Yang membedakan keduanya di sisi ALLAH SWT seperti juga yang membedakan antara lelaki dengan lelaki yang lain, ialah tahap taqwa masing-masing kepada ALLAH S.W.T. Firman ALLAH: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan(dan beramah mesra antara satu dengan yang lain) Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui lagi Maha mendalam pengetahuannya(akan keadaan amalam kamu)"

    Dalam masa yang sama, masyarakat bertamadun dan berilmu menyedari bahawa di sana ada beberapa perbedaan semula jadi termasuk biologi. Saya tidak bercadang membahaskan perbedaaan ini kerana ia tidak akan membawa natijah yang memberi manafaat kepada sesiapa. Saya cuma mahu mengulangi apa yang di sebutkan oleh pujangga: "Wanita bukan separuh daripada lelaki, mereka cuma berbeda" Perbedaan ini langsung tidak mengurangkan kedudukan wanita dan sumbangan mereka kepada masyarakat. Kita mengalu-alukan kejayaan kaum wanita dalam semua bidang ilmu dan kerjaya. Hari ini sudah ada orang-orang tertentu yang merasa risau dengan kejayaan wanita menguasai 70% tempat di universiti negara ini. Apakah pemimpin UMNO ini merasa gentar dengan kaum wanita?

   Salah anggapan kepada PAS ialah kerana pemimpin PAS kerap memberi nasihat yang menjurus memelihara kehormatan kaum wanita. Ini kerana kami sayangkan anak-anak perempuan kami, isteri-isteri kami, adik dan kakak kami, ibu-ibu kami serta setiap wanita dalam masyarakat kami. Kami merayu supaya majikan memberikan keselesaan kepada pekerja wanita adalah tanda sayang kami. Kami mahu meringankan kerja wanita adalah kerana sayangkan mereka.  Kami mencadangkan orang lelaki dipisahkan daripada wanita dalam keadaan tertentu kerana kami tidak mahu lelaki mengambil kesempatan. Kami mencadangkan supaya lebih ramai doktor dan guru dilahirkan daripada kalangan wanita kerana kami yakin kemampuan wanita dalam bidang-bidang ini jauh melebihi kaum lelaki. Ini bukan diskriminasi seperti yang digambarkan oleh sesetengah pihak. 


No comments:

Post a Comment