Artikel Terkini

Professor Dr. Zulkifli Muhammad: Permata Ummah di Alam Melayu

Dato' Profesor Dr. Zulkifli Muhammad ialah Timbalan Yang Dipertua Agung PAS dari tahun 1956-1964. Beliau juga merupakan Ahli Parlimen Bachok, Kelantan (1959-1964).Profesor Dr. Zulkifli Muhammad telah memberikan sumbangan besar kepada gerakan Islam di Tanah Melayu. Beliau menjadi Ahli Parlimen yang paling menonjol di antara tahun 1959-1964. Beliau mencatat sejarah apabila berucap selama EMPAT JAM di Dewan Rakyat berhubung dengan Rang Undang-undang Malaysia. Di sidang Parlimen, beliau mendesak supaya Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu MENARIK BALIK pengiktirafan ke atas negara Israel kerana kewujudannya telah menafikan hak rakyat Palestin.

Antara jasa dan sumbangan Profesor Dr. Zulkifli Muhammad ialah :
  1. Menentang keganasan komunis di Kuala Kangsar, Perak.
  2. Bangkit menentang Malayan Union bersama pertubuhan Melayu.Aktif dalam bidang penulisan.
  3. Menghasilkan tulisan yang berbentuk rencana seperti Falsafah Akhlak dalam Islam, Umat Islam Sekarang Makin Mundur, Peranan Filem dalam Masyarakat, Economic Justice, dan Kebangkitan Ekonomi Menurut Pandangan Islam. Beliau juga menghasilkan tiga buah buku iaitu Masyarakat dan Syariat, Analisa Tentang Beberapa Masalah Hidup, dan Pegangan Hidup Umat Islam.
  4. Menggerakkan penubuhan Kolej Islam Malaya di Klang (1953). Usaha beliau dalam menggerakkan penubuhan Kolej Islam Malaya telah mendapat pengiktirafan daripada Universitas Sawerigading (UHSA), Indonesia yang telah menganugerahkannya gelaran Profesor Kehormat pada 15 Julai 1957.
  5. Mencetuskan idea Penubuhan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (kini KIAS) pada 1965.
  6. Memberi perhatian mengenai masalah Bahasa Melayu dan merintis penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka bersama Pendeta Za'ba. Beliau menyeru Kerajaan Persekutuan supaya menyegerakan pembinaan bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka bagi memastikan Bahasa Kebangsaan terus berkembang pesat.
  7.  Melahirkan idea-idea kreatif yang progresif melalui sajak-sajak yang diterbitkan dalam majalah-majalah tanah air seperti Medan Masyarakat, Mastika, Qalam, Penghidupan, Hiburan dan Pembangunan. Sajak-sajaknya berunsurkan semangat kebangsaan yang kental serta diadun dengan tuntutan Islam yang kukuh dan mendalam.
  8. Menyokong cadangan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai sebuah institusi yang akan memartabatkan Bahasa Melayu.

No comments:

Post a Comment